Wednesday, August 26, 2009

jinakkan yang liar.

assalamualaikum w.b.t



Sebenarnya beberapa hari ini aku telah membunuh diriku dengan membiarkan saja masa-masa berharga berlalu dengan sia-sia memikirkan peristiwa lampau yang meracuni fikiran dan hanya menanamkan angan-angan kosong tiada jaminan. Kesian kan diri ini, masih xsedar-sedar lagi.. :((
Ramadhan seharusnya bukan sekadar menahan lapar dan dahaga sebaliknya ia lebih dari itu; ia adalah satu bulan dimana nafsu-nafsu yang meliar dalam diri patut dijinakkan. Nafsu merupakan musuh dalaman manusia yang killing us softly dengan keenakan melayannya. Memang betul pada bulan ini semua syaitan dibelenggu, direhatkan seketika daripada menyesatkan manusia, tapi nafsu-nafsu liar dalam diri manusia inilah tali barut syaitan yang membolehkan kerja-kerja memalingkan kita dari Allah berjalan secara langsung walaupun taiko (syaitan) dah dibelenggu.

Aku telah membiarkan nafsu-nafsuku melayaniku dan mengalpakan diri dari memikirkan nasib umat dan agama. Aku telah menzalimi diri kerana tidak meletakkan masa-masa yang aku miliki pada tempat seharusnya. Nafsu itu perlu bagi setiap yang bergelar insan, kerana tanpanya kita tak ubah seperti malaikat. Malaikat tidak mempunyai nafsu makan, tidak tidur, tidak berkahwin dan sentiasa taat kepada Allah.

Namun setiap penciptaan itu ada tujuan dan hikmah disebaliknya, tidaklah allah menciptakan nafsu dalam diri manusia itu dengan sia-sia. Dengan nafsulah manusia berkembang biak di muka bumi ini, nafsu juga membolehkan tubuh manusia beroleh tenaga beribadat kepada Allah, dan dengan ianya jualah manusia tegar mempertahankan agamanya dari dipijak-pijak oleh musuh. Nafsu itu ada 3 jenis, syahwat, perut, dan ego.


Puasa benar-benar melatih nafsu-nafsu ini agar jinak. Pertama sekali, sudah tentulah kita dilarang makan serta minum dalam tempoh waktu tertentu dan dengan ini nafsu makan yang terletak diperut dapat dikawal agar makan sedikit sahaja.


Selain itu, apabila kita berpuasa, kita dilarang untuk melakukan persetubuhan bagi kalangan suami isteri, dan ini tidak terhad pada yang sudah mendirikan rumah tangga sahaja, akan tetapi merangkumi semua manusia yang mempunyai nafsu syahwat dalam diri. Nafsu yang satu ini paling sukar dijinakkan dan paling buruk akibatnya jika tidak dapat dikawal dan disalurkan pada jalan yang halal. Rasulullah pernah bersabda, jika kamu tidak mampu untuk berkahwin, maka berpuasalah. Dalam konteks ini puasa menjadi benteng bagi manusia daripada melempiaskan nafsu syahwatnya sesuka hati. Hubungan antara lelaki dan wanita luar dari ikatan sah iaitu perkahwinan itu dianggap sebagai zina. Dan allah melarang keras manusia daripada mendekati zina apatah lagi melakukannya.



Puasa juga melatih diri agar menahan nafsu amarah dan tidak berkata-kata sesuatu yang sia-sia. Untuk mempertingkatkan lagi kualiti puasa kita, perbanyakkanlah zikrullah dan tadabbur al-quran. Rasulullah pernah menjelaskan bahawa iman seseorang itu tidak akan betul melainkan apabila hatinya lurus. Dan hatinya tidak akan lurus sehinggalah lidahnya lurus (berkata benar).

Maka, pada kesempatan merasai ramadhan tahun ini, jom same-same kite mengekang nafsu liar dan menjinakkan nafsu-nafsu ini agar dengannya kita dapat memperoleh ganjaran dari Allah.



Adapun yang takut maqam tuhannya, mencegah diri menurut nafsu, maka syurgalah tempat kembalinya.
(an-naziat:40-41)

Aku tidak membebaskan diriku (dari beban dosa) kerana nafsu sering menyuruh yang buruk, kecuali orang yang dirahmati oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku maha pengampun maha penyayang.
(yusuf:53)

No comments:

Post a Comment